Pelaburan Malaysia ke atas Myanmar

March 11, 2012

Syarikat Malaysia tidak perlu takut melabur di Myanmar

24/02/2012 8:43pm

YANGON 24 Feb. – Para pelabur dan syarikat-syarikat dari Malaysia tidak perlu bimbang untuk datang melabur ke Myanmar kerana kerajaannya sedang bergerak ke arah lebih demokratik dan mula membuka pasaran kepada dunia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelabur Malaysia perlu mengambil kesempatan tersebut agar peluang yang ada tidak terlepas begitu sahaja.
Beliau berkata, isu kestabilan politik tidak timbul lagi kerana banyak pihak dari seluruh dunia mula berlumba-lumba untuk datang melabur ke negara ini.

"Jika dahulu pelabur takut-takut, tetapi dalam berniaga kena berani, sekiranya takut kita akan tertinggal di belakang dan langsung tidak ada peluang.

"Seluruh dunia sudah tahu peluang di sini. Amerika Syarikat (AS), Jepun, Singapura, China dan Thailand sudah masuk, maka tidak harus kestabilan politik menjadi rintangan lagi," katanya kepada pemberita Malaysia selepas Seminar Potensi Perdagangan dan Pelaburan di Myanmar yang diadakan di Dewan Perdagangan dan Industri Myanmar (UMFFCI) di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Myanmar, Dr. Phun Yi Sun dan Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Dr. Faisal Muhamad.

Beliau bersama 90 delegasi perniagaan Malaysia dalam rangka misi perdagangan dan pelaburan ke Thailand dan Myanmar bermula Selasa lalu dan berakhir hari ini.

Dalam seminar tersebut, dua perjanjian persefahaman ditandatangani iaitu di antara Dewan Perniagaan Malaysia-Myanmar (MMBC) dan UMFFCI untuk memperkukuhkan hubungan perniagaan dua hala.

Satu lagi melibatkan Sinaran Usahawan. Sdn Bhd., dengan M.T.O Co. Ltd dan Ngwe Wathon Co. Ltd untuk membina sebuah kilang bata secara usahasama dan mengimport jentera berat untuk pembinaan.

Mustapa berkata, kerajaan Myanmar telah menunjukkan perubahan malah pada tahun depan mereka akan menganjurkan Sukan SEA dan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2014.

"Apabila menjadi Pengerusi ASEAN, mereka harus kerap mengadakan mesyuarat di sini, jadi sudah pasti mereka mahu ASEAN melihat negara ini dalam keadaan baik.

"Bagi merancakkan lagi hubungan perdagangan, kerajaan negara ini juga bersetuju untuk melihat semula penggunaan visa kerana ia menimbulkan kesulitan bagi ahli perniagaan bergerak," katanya.
Katanya, Malaysia merupakan dagangan ketujuh terbesar Myanmar dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.9 bilion yang menyumbang sebanyak 2.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan langsung asing (FDI).

"Mereka mempunyai sumber yang banyak, mereka ada gas dan minyak dan pertanian seperti bekalan ayam serta daging dan beras, kita harus pastikan perdagangan dapat dijalankan dengan baik.
"Malah kerajaan Myanmar telah mula membuka mata, mereka merancang untuk membuka kawasan bebas cukai di sini dan mereka ada tiga kawasan perindustrian besar serta menjemput syarikat-syarikat kita untuk melabur di sini," katanya. - UTUSAN

You Might Also Like

0 comments

Roda surih ganti dakwat,.
Terima kasih sudi melawat.

with <3 PuanGojes

Instagram

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images