tunggu dan lihat wahai warga myanmar #dunia

February 22, 2012


20 Feb 2012
LUAR NEGARA

Warga Myanmar di luar negara 'tunggu dan lihat' sebelum putuskan pulang
Oleh
Linilidia Abdul Hamid


MYANMAR yang lebih terbuka dan dengan pemerintahnya sedia melakukan pembaharuan politik telah menarik perhatian warganya yang sekarang tinggal di luar negara untuk menimbangkan kemungkinan pulang ke negara itu.

Namun, berbeza daripada kepulangan beramai- ramai warga Filipina ke negara itu setelah kejatuhan rejim Marcos, golongan itu mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan akhir mereka.

Demikian pandangan pengkaji utama di jabatan ehwal sosio-budaya Pusat Kajian Asean, Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas), Cik Moe Thuzar, semasa sesi soal jawab dalam ceramah Perubahan Myanmar: Institusi, Personaliti dan Jangkaan, yang diadakan di institut itu 10 Februari lalu.

Menurut Cik Moe, terdapat minat mendalam di kalangan rakyat Myanmar yang kini tinggal di luar negara untuk pulang dan sama-sama membangunkan negara itu.

'Ramai daripada kami, seperti masyarakat antarabangsa, sedang menanti dan ingin melihat apa yang berlaku setelah keadaan lebih teratur dan jelas, terutama sekali berhubung sekitaran yang sedang dibangunkan di Myanmar untuk rakyat dan pertubuhan untuk beroperasi di sana,' katanya.

Beliau juga berkata bahawa rakyat Myanmar yang tinggal di luar negara itu juga berminat mengetahui bagaimana mereka dapat bekerjasama dengan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) tempatan dan pertubuhan bukan pemerintah antarabangsa (INGO) bagi membangunkan negara itu.

Seorang lagi penceramah di cerama tersebut, zamil pengkaji kanan pelawat Iseas, Dr Tin Maung Maung Than, berpendapat keadaan Myanmar sekarang menyukarkan golongan profesionalnya yang kini tinggal di luar negara mencari pekerjaan jika mereka pulang.

'Mereka dianggap sebagai modal insan dan agak sukar mengerahkan modal insan dalam situasi negara Myanmar pada masa ini,' kata beliau.

Beliau menambah bahawa berbanding daripada masyarakat China dan Filipina, Myanmar tidak mempunyai ramai golongan peniaga di luar negara.

'Sesiapa yang ada modal untuk berniaga telah pun berada di Myanmar sejak 1990-an dan meneruskan perniagaan mereka. Oleh itu, kita tidak mungkin melihat kepulangan beramai-ramai warga Myanmar,' katanya.

Myanmar juga masih dihambat masalah-masalah asas yang perlu diselesaikan sebelum ia dapat berkembang pesat, menurut Dr Tin.

'Perkara asas seperti memastikan kadar pertukaran matawang yang stabil masih menjadi masalah di Myanmar. Dengan kadar pertukaran matawang sering berubah-ubah, golongan peniaga tentu menghadapi masalah melakukan dagangan dengan dunia luar,' tambah beliau.

Malah, isu-isu prasarana, seperti memastikan bekalan tenaga elektrik tetap tanpa gangguan dan khidmat telekomunikasi terselaras, adalah perkara asas yang perlu diselesaikan pemerintah Myanmar kerana ia menjejas perniagaan kecil.

Selain itu, kata Dr Tin, Myanmar masih di tahap awal pembaharuan politik dan pemerintah negara itu masih belum menyentuh isu-isu yang boleh dianggap sensitif kepada pasukan tentera yang memerintah sebelum ini.

'Buat masa ini, pemerintah Myanmar masih belum melakukan sesuatu yang bertentangan dengan minda tentera yang memerintah Myanmar sebelum ini. Mereka masih belum meminta junta tentera membayar balik cukai tertunggak atau merampas harta yang diperolehi secara haram,' katanya. Myanmar kini menikmati hubungan lebih baik dengan dunia luar dan diplomat asing mula terbuka menjalin hubungan diplomatik dengan negara itu.

Malah, sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Myanmar telah mula ditarik balik. Presiden Myanmar, Encik Thein Sein, telah memberi jaminan bahawa negaranya sedang bergerak pasti ke arah demokrasi dan tidak akan berpatah balik demi memastikan pembangunan negara itu berjalan seiring dengan negara-negara jirannya.

kredit to : cyberita

You Might Also Like

0 comments

Roda surih ganti dakwat,.
Terima kasih sudi melawat.

with <3 PuanGojes

Instagram

Popular Posts

Like us on Facebook

Flickr Images